02 Disember 2007

Ikan Puyu


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Di kampungku di Lubok Buntar, Serdang Kedah, di situlah terletak rumah ayah dan mak aku. Rumahnya terletak lebih kurang 3 ekar luasnya. Ayahku seorang pesara guru. Beliau kini menghabiskan masa dengan hobinya seperti bercucuk tanam pokok buah-buahan dan sayur-sayuran dan juga menternak ayam kampung, itik , angsa dan juga ikan puyu dalam kolam di belakang rumahnya.




Gambar ini melihatkan aku dan anakku sedang memberi makan ikan puyu di belakang rumah ayahku di kampung. Rasa sungguh 'excited' sekali ketika makanan ikan yang ditabur dengan sekelip mata sahaja disambar anak-anak ikan puyu. Berombak kolam ikan bila kelibat ikan-ikan puyu di muka air kolam ketika makanan sampai. Wah! Melompat anakku bila lihat ikan-ikan tu semua. Best tau!



Menurut ayahku [ dalam gambar di atas , sandar tepi pintu berkopiah putih], jumlah ikan puyu ternakan beliau ialah sekitar 10,000 ekor. Setiap pagi ayahku dan makku akan menghabiskan masanya di belakang rumah dengan tanaman dan ternakan mereka. Seingat aku, selama beliau tinggal di kampung ini yang telahpun menjangkau 7 tahun [sebelum ni, kami menetap di Butterworth, Pulau Pinang] ayahku lah satu-satunya penduduk yang menukarkan tanah sekitar rumahnya menjadi sebuah dusun dan kolam yang mendamaikan.

Apabila aku terjumpa dengan resepi 'pekasam ikan puyu' dalam internet, aku terus ingat pada ayahku di kampung. Beliau kini sedang menunggu anak-anak ikan puyunya membesar untuk dijual. Aku pulak berangan untuk belajar buat pekasam sikit nanti bila balik ke kampung hari raya Haji kelak. Nyami! Ikut keletah anakku bila makan benda sedap ni. Hehehehe....

Di bawah ni aku ingin berkongsi bersama resepi Pekasam Ikan Puyu yang kupetik dari sumber internet juga. Mari kita sama-sama mencuba ye.

Resepi Pekasam Ikan Puyu

Bahan-Bahan:
1 mangkuk beras,
1 cawan garam kasar,
Air suam secukupnya
1kg ikan puyu (ikan lain pun ok!).

Cara:
1)Ikan disiang serta dibersihkan dan kemudian digaul dengan garam kasar dan dibiarkan semalaman didalam bekas yang tertutup.

2)Beras digoreng sehingga perang dan dimesin halus.

3)Campurkan 3 cawan air suam serta 1/2 cawan garam kasar dan gaul sehingga larut.

4)Masukkan beras yang telah dimesin kedalam campuran air garam tadi dan jangan sehingga terlalu pekat-(bahan A)

5)Ikan yang telah diperap tadi dibasuh terlebih dahulu untuk mengurangkan kemasinan.

6)Celupkan ikan tadi seekor demi seekor kedalam bahan A dan susun didalam bekas yang ditutup rapat (balang atau tupperware) dan dibiarkan selama 4-5 hari.

7)Untuk lebih sedap simpan sehingga 1 minggu.

*Peringatan:Pekasam ikan puyu boleh tahan selama 1-2 bulan sekiranya dibuat mengikut aturan.

Cadangan Hidangan:

Untuk lebih 'kick' goreng sehingga garing dan masukkan bawang (kecil atau besar).Ikan tadi dihidangkan bersama perahan limau nipis. Tambahan: Jikalau puan-puan tidak gemar ikan air tawar ikan laut pun boleh dijadikan pekasam.

'SELAMAT MENCUBA'

[ dipetik dari sumber internet untuk dikongsi bersama]

Tiada ulasan: