19 Ogos 2009

Hati-hati H1N1





SEJAK beberapa minggu kebelakangan ini, Influenza A (H1N1) menjadi perkara yang mengancam nyawa kepada seluruh masyarakat dunia. Wabak yang meletus itu semakin mencemaskan dengan jumlah kes jangkitan yang dikesan melebihi 2,000 dilaporkan membabitkan 21 negara dan sejumlah kematian yang besar akibat H1N1.

Pada peringkat ini, amat penting bagi masyarakat umum mengambil langkah berjaga-jaga terhadap ancaman selsema baru ini di samping membina kesedaran mengenai langkah keselamatan yang boleh diambil bagi mencegahnya daripada merebak.

Sebagaimana yang kita ketahui, pada peringkat ini, wabak H1N1 menyebabkan penyakit sukar untuk bernafas disebabkan oleh sejenis virus baru hasil campuran dua jenis virus iaitu virus babi dengan unsur genetik manusia dan burung yang mampu menjangkiti orang lain. Tanda awal H1N1 ialah seperti selesema, termasuk demam, batuk, sakit kepala, sakit otot dan lenguh-lenguh sendi, sakit tekak dan hidung berair dan kadangkala muntah serta cirit-birit.

Penyakit itu mula merebak apabila mereka yang dijangkiti menggunakan tangan untuk menutup mulut ketika batuk atau bersin, kemudian menyentuh sebarang permukaan, atau bila titisan-titisan air tersebar ke udara. Mereka yang tidak dijangkiti kemungkinan menyedut udara yang sudah tercemar, atau menyentuh tangan mereka yang dijangkiti atau permukaan yang tercemar lalu terdedah kepada penyakit berkenaan.

Oleh itu, bagi mencegah ia daripada merebak, seseorang itu perlu sentiasa mengekalkan kebersihan yang sewajarnya; sebagai contoh, tutup mulut dan hidung setiap kali anda batuk atau bersin dengan tisu atau dengan tangan kemudian buangkan tisu itu segera dan sentiasa cuci tangan dengan sabun antibakteria atau air.

Jika anda sakit atau terdapat tanda-tanda seperti terkena selesema, duduk saja di rumah dan elakkan bersentuhan dengan orang lain, elakkan pergi ke tempat yang dipenuhi orang ramai, tempat awam atau menggunakan kenderaan awam. Elakkan juga menyentuh mata, hidung dan mulut kerana rembesan daripada tempat itu mengandungi virus dan boleh menjangkiti orang lain.

Tanda dan gejala penyakit ini boleh beralih daripada orang dewasa kepada kanak-kanak, dan individu kepada individu lain. Justeru, di sini dinyatakan beberapa tanda amaran sebagai langkah berwaspada.

Walaupun vaksin adalah cara paling berkesan bagi melindungi orang ramai ketika merebaknya wabak influenza, sehingga kini, belum ada vaksin yang boleh menentang virus H1N1. Bagaimanapun, ada beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mencegah diri kita daripada dijangkiti.

Sebagai permulaan, cuba elakkan daripada menyentuh mata, hidung, telinga dan mulut anda kerana ini adalah cara paling mudah bagi virus iu masuk ke dalam badan. Anda juga dinasihat agar sentiasa mencuci tangan dengan sabun antibakteria dan air daripada hanya membilasnya dengan air semata-mata. Gunakan teknik yang betul seperti yang dinyatakan di bawah sebagai panduan:

Elakkan berada di tempat yang terlalu sesak dan kekalkan pengalihan udara disamping penjagaan kebersihan diri yang baik. Sekiranya anda merancang untuk ke luar negara, adalah lebih baik menangguhkannya terlebih dahulu sehingga wabak ini benar-benar reda.

Bagaimanapun, pihak kerajaan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengambil beberapa langkah perlu bagi mengawal H1N1 daripada merebak seperti mengadakan saringan terhadap sebarang gejala H1N1 di setiap pintu masuk ke Malaysia kepada warga tempatan dan juga warga asing di samping menyebarkan khidmat nasihat kesihatan kepada orang ramai.

Oleh itu, dengan semua maklumat berkaitan yang diperoleh, anda patut melindungi keluarga daripada terkena wabak ini seterusnya membantu Malaysia bebas daripada terkena H1N1. Paling penting, ini adalah tanggungjawab semua pihak untuk mengambil langkah yang perlu bagi mencegah virus selsema ini daripada merebak.

Seseorang itu boleh bermula dengan mengekalkan kebersihan diri yang optimum dengan mengekalkan kebersihan sepanjang masa. Selalu membasuh tangan dengan pencuci tangan Lifebuoy antibakteria bukan saja melindungi anda daripada terkena bakteria berbahaya, tetapi juga melembapkan tangan anda dan menjadikan kulit anda berbau harum.

Selain daripada mencuci tangan dengan kerap, mandi dengan menggunakan pencuci badan antibakteria selepas pulang ke rumah juga adalah langkah mudah yang boleh diambil bagi mengelakkan daripada membawa pulang kuman dan bakteria berbahaya kepada keluarga anda.

Antara tanda yang perlu diteliti di kalangan kanak-kanak:

Sukar bernafas atau sesak nafas

Bibir berubah menjadi biru

Sering keletihan atau tidak mampu bergerak

Kejang pada bahagian leher

Kelihatan keliru

Mengalami sawan atau kekejangan

Tidak membuang air kecil selama 12 jam

Antara tanda di kalangan orang dewasa:

Demam berlanjutan selama lebih lima hari
Batuk tanpa mengeluarkan kahak
Sukar untuk bernafas, walaupun ketika sedang berehat
Sakit dada ketika bernafas
Bibir berubah menjadi biru
Demam yang berulang-ulang dan sesak nafas walaupun kelihatan seperti telah sembuh
Pengsan


Bersihkan tangan bagi mencegah jangkitan H1N1


1. Ratakan sabun ke telapak tangan.

2. Gosok secara menyeluruh sehingga ia berbuih.

3. Sental di antara celah jejari kerana kawasan ini dikenali sebagai ‘tempat paling digemari’ oleh kuman.

4. Sental setiap jari pada tapak tangan sehingga ia bersih.

5. Gosok belakang tangan dan juga pergelangan tangan anda.

6. Akhir sekali, bilas secara rata dengan air bersih dan keringkan dengan kain bersih atau tisu.


(Petikan diatas dipaparkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia)

Ramadhan





Fajar ramadhan datang menjelang,
Mengajak kita meraih keampunan,
Mohon bukakan pintu kemaafan,
Untuk segala khilaf dan kesalahan,

Bulan ramadhan bulan keberkahan,
Kurnia Sang Maha Penyayang buat hamba beriman,
Tolong ikhlaskan serta maafkan segala perkataan dan perbuatan yang pernah membuat luka di hati dan perasaan,

Selamat tunaikan puasa dengan segenap keikhlasan,
Semoga tuhan limpahkan cinta dan keberkahan,
Jalan kemudahan untuk segala urusan,
Agar kau raih kebahagiaan untuk hari ini dan masa depan,
Terima kasih atas segalanya,

Segala kebaikan dan ketulusan yang kau berikan padaku,
Semoga Tuhan terima ibadah puasa yang akan kita lakukan,
Serta kabulkan doa yang kita lantunkan agar ramadhan selalu tingkatkan ketakwaan dan kearifan.
Amin…

Segala puji syukur layak dipanjatkan,
bagi Tuhan pemberi kehidupan…

13 Tanda Anda Jatuh Cinta

Photobucket




Jika anda ingin tahu sama ada anda telah jatuh cinta dengan seseorang, anda boleh mengetahui melalui perkara berikut:

1. Anda tidak akan marah terlalu lama dan akan berusaha untuk mengawal kemarahan anda terhadapnya.

2. Anda akan sentiasa merindui dia.

3. Apabila berjalan dengan dia, anda akan berjalan dengan perlahan.

4. Anda akan tersipu-sipu malu apabila bersama dengannya.

5. Apabila anda berfikir tentang dirinya, jantung anda akan berdegup pantas.

6. Hanya dengan mendengar suaranya, anda akan tersenyum tanpa sebab.

7. Apabila anda melihat dia, anda tidak akan peduli orang di sekeliling anda. Anda cuma melihat dia seorang.

8. Anda akan mula mendengar lagu yang berirama balada.

9. Dia sentiasa di fikiran anda.

10. Anda akan sentiasa terhidu baunya.

11. Anda menyedari bahawa anda akan tersenyum apabila memikirkan tentang diri dia.

12. Anda akan lakukan apa sahaja untuk dirinya.

13. Apabila anda membaca ini, pada masa yang sama, ada seseorang di dalam fikiran anda.

22 Mei 2009

Sentuhan Madihah



Madihah puasa sebab miskin mampu mencipta kecemerlangan dalam SPM, 20A


Aku begitu teruja dengan kejayaan Madihah ni, aku kagum dan sangat terharu dengan kejayaan anak Melayu yang sorang ni. Dah la comel, genius lak tu! Dia seumpama berlian yang satu hari nanti akan begemerlapan menerangi kehidupan keluarga dan masyarakat amnya...


Di bawah ni, aku selitkan kisah Madihah yang boleh diambil ikhtibar untuk semua pelajar yang aku kasihi sekalian. Selamat membaca.

KOTA BHARU 14 Mac – “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, gambar) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.

“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.”

Demikian luahan ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh.

Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut.

Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.

“Disebabkan tak ada wang poket, kakak akan makan roti di sekolah dan kerana terlalu banyak makan roti, ia jadi kegemarannya. Malah dia bercita-cita belajar cara buat roti. Kata kakak, dia hendak buat roti banyak-banyak.

“Ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan anak begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dia menerima kekurangan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Kesusahan hidup Nik Nur Madihah yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Mariani berkata, sejak kecil anaknya itu gemar membaca buku dan setiap masa terluang tidak pernah dibiarkan begitu saja.

“Memang dari kecil lagi dia minat benar dengan buku. Saya dan suami tidak pernah paksa kakak membaca buku, kadang-kadang paksa dia suruh berhenti sebab sudah masuk Maghrib.

“Sifat ulat buku ini turun kepada tiga adiknya,” tambahnya.

Menurut Mariani, seorang lagi anaknya kini menuntut dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik Bachok, seorang dalam tingkatan tiga di bawah tajaan Permodalan Nasional Berhad di Bandar Salak Tinggi dan yang bongsu di tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini.

Ujarnya, sekiranya Nik Nur Madihah meminta wang untuk membeli buku, dia dan suami akan berusaha mencari wang tersebut tetapi selalunya ia tidak diberi serta-merta kerana kesempitan hidup.

“Kakak tidak banyak kerenah dan agak pendiam. Dia pun tidak beritahu kami dia ambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah saat-saat akhir,” ujarnya.

19 Mei 2009

Secebis Kisahku


Assalamualaikum semua, salam manis dikirimkan buat semua pengunjung blog aku ni.

Aku mohon maaf jika dah terlalu lama tak bersihkan 'sawang' yang dah mula melingkar di dinding blog aku nih, hehehehehe. Hari ini aku datang dengan seribu harapan agar dapat menceriakan semula blog aku yang kian malap.

weiiiii! Bukan senang nak ada mood nak taip dalam blog ni. Perlukan kekuatan dalaman. Kena ada 'guts' tau. Aku sebenarnya sedang menjaga kembarku yang diserang demam campak sejak minggu lepas. Minggu lepas, suamiku mengambil giliran menjaga anak-anakku, minggu ni, aku lak menjaga mereka. mereka tak dibenarkan datang ke tadika lagi kerana dikhuatiri berlaku jangkitan pada budak-budak lain. Sebenarnya, anakku kena campak pun sebab berjangkit dengan member dia di tadika, hehehehe. anyway, aku enjoy menjaga permata hatiku ini walau dalam keadaan apa sekalipun. Itulah pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anaknya.

mmmmm....apa aku nak citer nih ha? dalam aku dok mc ni, aku sibuk gak. Banyak 'preparation' yang aku kena wat. Macam-macam pala ni dok fikir pasal sekolah. Bak kata orang, 'jasad di sini, tapi hati jauh nun di sana'. Aku baru siap wat kertas kerja bajet untuk program gerak gempur matematik spm 2009 yang akan aku laksanakan dalam pertengahan bukan jun ni. Fuh! lega skit satu benda siap dah.

Pasni, aku kena siapkan seminar teknik menjawab soalan SPM yang akan berlangsung di Aman Sari, Kuantan pada 6 Jun tak lama lagi. Ponin gak nak wat ni. Sebabnya aku diminta oleh salah sorang member sekolah aku memandangkan aku pemeriksa kertas matematik spm. Alahai, aku rasa mcm tak layak je tau. Tapi, walaupun begitu aku sahut cabaran ini sebagai langkah permulaan bagiku sebagai penceramah luar. Aku pernah 3 kali baru dijemput sebagai penceramah. Pertama di SHAH, Pekan mengajar teknik menjawab geografi. Kali ke2 di SK Methodist , Kuantan sebagai penceramah bagi pendedahan PPSMI pada pelajar lepasan UPSR. Selepas itu aku dijemput memberi ceramah motivasi pada calon-calon SPM 2009 di SMK Sungai Soi dalam program motivasi matematik spm.

Sebenarnya , aku rasa kurang sangat ilmu di dada ni untuk bercakap di khalayak ramai. Sebelum ni, aku pernah menjadi Jurulatih Utama kursus ETEMs. masa tu, aku rasa macam dalam mimpi je. Nak nak pula kena 'speaking 100%' depan cikgu cikgi yang jadi 'cp' aku. Gabra giler masa mula2 jadi JU. Pastu, lama-lama ok la...heheheheh

itulah secebis pengalaman aku yang nak dikongsi bersama. Ohya, aku rasa cukup dulu setakat ni, bukan apa, takut orang boring baca je, hehehehehe

Senyum selalu ye kawan-kawan....bye. tata

18 Mac 2009

Ayahku

Assalamualaikum dan salam manis dariku

Pagi ini aku ingin bersyahdu syahdan jap dengan insan yang sangat kucintai di dunia, tiada duanya...dialah ayahku, Haji Jamaludin bin Abdullah yang aku pernah abadikan cerita kolam ikan puyu dan ladang limau..... alahai aku memang tersentuh bila aku teringat kat ayahku.......

Di bawah ni aku tujukan sajak khas buat ayahanda tercinta yang aku cedok dari petikan internet juga..


AYAH

Pagi ini suluh mentari menghantar pulang
Jejak sepatuku masih ada debu kota meminggir
Diasak embun desa termanggu di halaman
Seratus langkahku menghampiri anak tangga usang
Rumah papan atap rumbia menyentak perantau
Sepi di beranda...

Kuatur langkahku sebak
Syahdu dan gementar
Ada tangisan di wajah
Menyentuh kenangan di gerbang pintu
Ayah selalu berkisah
Kuakan pintu itu ada nasihat
Masih basah keringat
Memantul warna senja kepulanganmu
Tanpa sungutan

Cepat benar masa berlalu
Waktu ayah menyambutku pulang
Usiamu diterjah putih kelabu
Ada perit getir di wajahmu
Kedut yang membungkus wajahmu
Mengasak kudrat ke telapak kesat tanganmu
Sering dahulu memeluk kami sebelum ke sekolah
Menghantar seribu luka di tumitmu
Dulunya menguak rahsia jalan
Aku menyambut memapah tubuh gementarmu
Kulihat dengan genang air mata
Sejuk dahiku kau kucup penuh restu

Sepohon pokok rendang tua
Ayah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata ayah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”

Ayah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu ayah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja

Ayah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau....
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal ...
.....Gagal kami temui dalam setiap dakapan
.....Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
.....Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri ayah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami....
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan

Ayah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa

Doa ibu membawa ke syurga
Doa ayah jalan ke syurga

Little Mike
Jun 2007