07 Disember 2007

Tips Belajar Matematik

Assalamualaikum semua

Di sini saya ingin utarakan beberapa tips yang diberikan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Shamsudin Abdullah, pensyarah Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia.

Ramai anak Melayu Islam lemah dalam matematik. Sebenarnya sindrom ‘lemah matematik’ adalah hanya satu persepsi yang tidak ‘real’.

Pada hemat saya ilmu apa pun boleh dikuasai dengan tiga langkah utama.
# Tanamkan azam ke dalam hati dan minda bahawa ‘sebagai pelajar ilmu yang diajar ini sangat penting untuk masa depan saya. Insya-Allah saya boleh boleh kuasai ilmu ini jika belajar bersungguh-sungguh.
’# Berikan sepenuh tumpuan terhadap pengajaran ketika guru mengajar. Buat soalan latihan dengan segera jika disuruh.
# Segera membuat latihan tambahan di rumah.


Namun, secara khusus untuk ilmu matematik, masalah utama yang menyebabkannya susah ialah kerana ia adalah sesuatu yang ‘abstrak’.
Untuk memudahkannya, maka sifat abstrak ini perlu dijadikan ‘konkrit’ iaitu boleh digambarkan dengan pancaindera.Kita perlu menghuraikan apa sebenarnya ‘angka’, ‘nombor’, ‘x’, ‘y’, ‘z’ dan banyak lagi simbol yang digunakan.

Mudah-mudahan tips ini boleh digunapakai oleh pelajar

05 Disember 2007

Jutawan Senyap : Episod 1

Assalamualaikum , salam manis buat semua.

'Menjejaki Jutawan Senyap' nukilan Dr. Rusly Abdullah atau dikenali sebagai Chef Li merupakan buku yang boleh dikatakan ada 'umph'. Ini adalah kandungan isinya digarap dengan begitu baik dan sarat dengan cerita-cerita begitu menarik minat pembaca.


Rupa-rupanya cerita jutawan senyap di Malaysia ini cukup hebat. Jangan disangkakan peniaga-peniaga kecil di pasar malam, di tepi kaki lima , atau di tepi-tepi bangunan flat cuma insan-insan yang berjiwa kecil. Tetapi merekalah yang lama-kelamaan digelar "Jutawan Senyap' akhirnya. Sungguh menakjubkan.


Karektor Jutawan Senyap:

1. Jenis perniagaan mereka tidak 'GAH', tidak nampak hebat dan tidak standard. Perniagaan mereka kecil sahaja tapi mempunyai jaringan yang luas.


2. Mereka tidak pernah bercerita apa-apa tentang berapa pendapatan mereka.


3. walaupun kehidupan mereka mewah, ada rumah, kereta yang setaraf dengan wakil rakyat, tetapi kehidupan sosial mereka lebih merakyat.


4. Mereka ini jarang atau tiada mendapat anugerah bintang kebesaran yang membawa gelaran Dato' atau Tan Sri. Paling tinggipun PJK [Pingat Jasa Kebaktian]. Gelaran lazim untuk mereka ialah seperti 'pak Haji' atau "mak Hajjah' jikalau telah menunaikan haji.


5. Mereka bukan jenis ghairah melabur sana-sini. Mereka paling berhati-hati dan berwaspada apabila melibatkan soal duit.


Kata-kata "Biarlah kita jalankan perniagaan KECIL asalkan kejayaannya BESAR. Itu lebih baik dari bisnes BESAR tapi untungnya KECIL!" itulah yang dipegang oleh kebanyakan Jutawan Senyap.


Kisah pendatang Indonesia bernama Diyono Santoso begitu menarik minat aku.


Beliau telah membuat tinjauan sejak beliau berada di Kuala Lumpur. Beliau dapati :


1. "Setiap orang yang bergerak di KL ini ada wang di sakunya. Ada sedikit ada banyak. pokoknya setiap orang ada wang dalam sakunya.


2. " Barang berharga RM1 kalau di KL sudah tidka ditawar orang lagi. Pokkoknya asal harga RM1 sudah dikira sangat murah.


3. Bawa apapun ke KL bisa menerangkan kegunaannya, akan ada pembelinya.


Akhirnya beliau menceritakan "Percaya enggak Pak... berjualan air di pinggir jalan sahaja di Malaysia bisa pakai BMW!"


Itulah sedikit cetusan yang aku nukilkan untuk tatapan kita bersama.


Kata madah Chef Li juga turut terangsang mindaku untuk bekerja keras menjadi insan yang mampu memberi kebaikan kepada insan lain dengan caraku sendiri.


"Anda patut menjadi kaya. Anda tidak berhak menjadi miskin. Hidup di Malaysia tetapi tidak kaya adalah malang." Chef Li


Jutawan Senyap : Episod 2

Assalamualaikum dan salam manis buat semua.

Penulis buku 'Menjejaki Jutawan Senyap' telah berkarya kali keduanya dalam bukunya yang berjudul 'Petunjuk Jalan Kekayaan'.

Apa yang menarik di sini ialah sebahagian kisah silam Chef Li telah diketengahkan buat tatapan pembaca yang juga sedikit sebanyak mendorong ke arah mencari identiti seorang usahawan dan juga tips-tips berguna yang boleh diamalkan oleh diri dan keluarga sendiri.

6 Kunci Kekayaan seperti berikut :

1. Mempunyai satu usaha yang mendatangkan wang.
"Kekayaan adalah hasil pekerjaan kita sendiri. Hasil dari sesuatu yang prktis. ia bukan hasil menungan atau imaginasi. Ia bukan jatuh dari langit. Ia bukan durian runtuh. Ia bukan bulan jatuh ke riba.."

Kenapa kita tidak kaya?
"Kerana kita tidak memperkayakan diri kita sendiri tetapi kita memperkayakan orang lain."

2. Kekayaan bermula dengan menyimpan sebahagian pendapatan secara berterusan.

"Tidak akan kaya sampai bila pun jika anda tidka mulai menyimpan.."

1/10 : untuk dilupakan

1/10 : untuk melunaskan hutang

1/10 : unuk zakat/agama/sumbangan kemasayarakatan

2/10 : untuk keluarga

1/10 : untuk diri sendiri

1/10 : untuk orang tua

2/10 : untuk digandakan semula

1/10 : untuk perniagaan sedia ada


3. Menggandakan wang kita melalui pelaburan bersih dan menguntungkan.

4. Tunaikan hak-hak mereka yang berhak.

a. membayar zakat
b. menggembirakan orang tua
c. menolong kaum kerabat
d. bersedekah
e. infaq
f. amal jariah

5. Jangan berhutang dan memberi hutang.

"Jika kita berhutang ibarat kita telah menyalakan benih api yang akan memakan secara perlahan simpanan kita ibarat api dalam sekam."

"Jika kita nak memberi, berilah dalam bentuk sedeqah, hadiah, zakat/infaq mengikut kemampuan kita."

6. Berdo'a, bertaqwa dan bertawakkal.

" Tidak ada jalan pintas menuju kekayaan."


Setakat ini dahulu. Bersambung di episod seterusnya.

04 Disember 2007

Kelapa




Assalamualaikum dan salam manis dari aku

Hari ni aku ingin bicara tentang kelapa. Kelapa memang sinonim dengan orang kita. Pokok kelapa boleh dimanafaatkan dari batangnya hinggalah ke daunnya. Semuanya boleh dikomersialkan.
[ gambar di bawah menunjukkan kepentingan kelapa apabila diadakan kenduri, sebagai contoh.]
Apa yang aku ingin sentuh di sini ialah tentang isi kelapa. Sejak kebelakangan ini, aku terjumpa makanan yang disebut sebagai 'jeli kelapa'. Wah! begitu nyaman sekali bila memakannya terutamanya apabila cuaca panas. Harganya sekitar RM1 sebekas. Aku kerap membelinya apabila ku berkunjung di pasar tani, Kuantan. Ianya diperbuat dari campuran agar-agar yang dimasak dan air kelapa juga isinya yang diparut. Disejukkan. Lazat bila dahaga!

Di bawah ini aku selitkan resepi Serunding Kelapa dan sambal ketumbal petikan dari Majalah Anis Julai 2005

Serunding Kelapa

1/2 biji kelapa parut [ambil isinya yang putih]
2 paket kecil udang kering - dikisar halus
3 ulas bawang putih - dikisar halus
2 biji bawang besar -dikisar halus
5 biji cili kering - dikisar halus
batang serai [dihiris] - dikisar
3 sudu gula
Sedikit kunyit
Garam secukup rasa
3 sudu minyak masak

Caranya:
Panaskan minyak
Tumiskan bahan kisar sehingga naik bau
Masukkan gula dan garam serta kunyit
Masukkan kelapa
Kacau hingga rata dan kering
HIdangkan

Resepi Sambal Ketumbal

Bahan:
3 biji bawang besar
4 biji lada merah
3 biji cili padi
3 biji limau kasturi
sedikit belacan

Cara Membuat:

Bawang dipotong empat, dipotong empat
Lada merah digoreng sebentar
Cili padi digoreng sebentar
Belacan digoreng sebentar
Tumbuk semua bahan yang telah digoreng, masukkan sedikit garam
Masukkan limau yang dipotong dua.
Gaul hingga rata
Sedia untuk dihidangkan


Selamat mencuba ye!

02 Disember 2007

Ikan Puyu


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Di kampungku di Lubok Buntar, Serdang Kedah, di situlah terletak rumah ayah dan mak aku. Rumahnya terletak lebih kurang 3 ekar luasnya. Ayahku seorang pesara guru. Beliau kini menghabiskan masa dengan hobinya seperti bercucuk tanam pokok buah-buahan dan sayur-sayuran dan juga menternak ayam kampung, itik , angsa dan juga ikan puyu dalam kolam di belakang rumahnya.




Gambar ini melihatkan aku dan anakku sedang memberi makan ikan puyu di belakang rumah ayahku di kampung. Rasa sungguh 'excited' sekali ketika makanan ikan yang ditabur dengan sekelip mata sahaja disambar anak-anak ikan puyu. Berombak kolam ikan bila kelibat ikan-ikan puyu di muka air kolam ketika makanan sampai. Wah! Melompat anakku bila lihat ikan-ikan tu semua. Best tau!



Menurut ayahku [ dalam gambar di atas , sandar tepi pintu berkopiah putih], jumlah ikan puyu ternakan beliau ialah sekitar 10,000 ekor. Setiap pagi ayahku dan makku akan menghabiskan masanya di belakang rumah dengan tanaman dan ternakan mereka. Seingat aku, selama beliau tinggal di kampung ini yang telahpun menjangkau 7 tahun [sebelum ni, kami menetap di Butterworth, Pulau Pinang] ayahku lah satu-satunya penduduk yang menukarkan tanah sekitar rumahnya menjadi sebuah dusun dan kolam yang mendamaikan.

Apabila aku terjumpa dengan resepi 'pekasam ikan puyu' dalam internet, aku terus ingat pada ayahku di kampung. Beliau kini sedang menunggu anak-anak ikan puyunya membesar untuk dijual. Aku pulak berangan untuk belajar buat pekasam sikit nanti bila balik ke kampung hari raya Haji kelak. Nyami! Ikut keletah anakku bila makan benda sedap ni. Hehehehe....

Di bawah ni aku ingin berkongsi bersama resepi Pekasam Ikan Puyu yang kupetik dari sumber internet juga. Mari kita sama-sama mencuba ye.

Resepi Pekasam Ikan Puyu

Bahan-Bahan:
1 mangkuk beras,
1 cawan garam kasar,
Air suam secukupnya
1kg ikan puyu (ikan lain pun ok!).

Cara:
1)Ikan disiang serta dibersihkan dan kemudian digaul dengan garam kasar dan dibiarkan semalaman didalam bekas yang tertutup.

2)Beras digoreng sehingga perang dan dimesin halus.

3)Campurkan 3 cawan air suam serta 1/2 cawan garam kasar dan gaul sehingga larut.

4)Masukkan beras yang telah dimesin kedalam campuran air garam tadi dan jangan sehingga terlalu pekat-(bahan A)

5)Ikan yang telah diperap tadi dibasuh terlebih dahulu untuk mengurangkan kemasinan.

6)Celupkan ikan tadi seekor demi seekor kedalam bahan A dan susun didalam bekas yang ditutup rapat (balang atau tupperware) dan dibiarkan selama 4-5 hari.

7)Untuk lebih sedap simpan sehingga 1 minggu.

*Peringatan:Pekasam ikan puyu boleh tahan selama 1-2 bulan sekiranya dibuat mengikut aturan.

Cadangan Hidangan:

Untuk lebih 'kick' goreng sehingga garing dan masukkan bawang (kecil atau besar).Ikan tadi dihidangkan bersama perahan limau nipis. Tambahan: Jikalau puan-puan tidak gemar ikan air tawar ikan laut pun boleh dijadikan pekasam.

'SELAMAT MENCUBA'

[ dipetik dari sumber internet untuk dikongsi bersama]

01 Disember 2007

Kelas Matematik Cikgu Siti Suraida : Episod 1


Assalamualaikum

Aku baru je pulang dari mengadakan kelas matematik di ofis aku di Kuantan. Seminggu sekali je. Selama 3 jam dari jam 9.30 pg hingga 12.30 tgh. Aku buat kelas secara kecil-kecilan aje.

Ohya.. sebenarnya aku mengadakan kelas ini semata-mata permintaan anak muridku di sekolahku yang merayu nak belajar matematik dariku sebelum cuti sekolah lagi. Setelah aku fikir masak-masak, aku sambut permintaan itu dgn hati yang terbuka. So, sudah 3 minggu berjalan. Syukurlah anak-anak muridku yang benar-benar nak belajar telah beri komitmen yang baik.

Moto kelas Matematik aku ini ialah 'Cheap@Simple@Clear' . Aku tidak mengajar pelajar-pelajar yang cemerlang, tetapi mereka yang lemah dan tidak pernah mendapat keputusan yang baik semasa belajar di tingkatan empat 2007. Aku berhasrat untuk membimbing mereka dari mula hingga mereka menduduki SPM 2008. Cukuplah sekadar mereka lulus dengan keputusan yang baik walaupun tidaklah cemerlang kerana bagi mereka matematik adalah subjek 'killer' berbanding dengan yang lain.

Ohya! Aku mengadakan kelas ini di premis yang menempatkan pejabat aku dan suami. Ianya terletak di A19, Aras 2, Lorong Tun Ismail 10, 25000 Kuantan. Ianya berhadapan jalan dengan sebuah pusat membeli-belah Megamall Kuantan. Kelas aku hanya dapat memuatkan sehingga 12 orang sahaja dalam satu-satu masa. Setakat ini jumlah peserta kelas ini ialah seramai 8 orang.

Mudah-mudahan kelas bimbingan matematik ini mendapat berkat dari Allah dan berkembang maju hingga bila-bila.



Sekian dulu ye.
Wassalam



Blog Aku

Photobucket

Assalamualaikum dan salam manis dariku.

Aku ingin berkongsi bicara petang ni dengan semua. Setelah aku lihat dan membaca begitu banyak blog orang lain, aku terpanggil untuk membuat blogku sendiri. Aku tidak mahu ketinggalan dalam arus IT internet ini. Tanggal 1 Disember 2007, akhirnya aku berjaya buat satu blog peribadiku. Aku belajar bina sendiri blog ni dengan berpandukan kepada buku yang ku beli iaitu 'Blogger, Blog, Blogging' karya Rosli Jamal. Syukurlah aku ada 'rumah' sendiri sekarang.